Kuala Lumpur : Penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala, 62, mengakui meminta restu bapa Siti Munirah Abd Ghani untuk menikahi wanita itu, sekali gus menepis tuduhan sebagai ‘penyondol’.
ND Lala berkata, dia melamar Siti Munirah, sedangkan pada awalnya wanita berusia 33 tahun itu tidak berminat terhadapnya.
Justeru, penyanyi lagu Diari YB itu meminta orang ramai berhenti melabelkan isteri baharunya sebagai penyondol.
“Saya nak ambil kesempatan ini, mohon janganlah gelar atau labelkan Siti Munirah sebagai penyondol. Ini tak benar sama sekali sebab dia tak pernah sondol atau mengurat saya.
“Saya yang mendekatinya. Awal-awalnya, Siti Munirah tak nak, tetapi akhirnya saya pergi minta restu ayahnya. Apabila ayahnya bersetuju, maka kami pun bernikah. Jadi, tidak benarlah dia sondol saya.
“Jika sondol saya, kita ada akta yang boleh dibawa ke tengah dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda. Siti Munirah tidak sondol, tetapi saya melamarnya secara sah,” katanya.
Terdahulu, ND Lala memuat naik tiga video dalam Instagram, semalam. Video pertama menjelaskan mengenai isu perceraiannya, manakala video kedua membabitkan impak jenayah, ghibah dan fitnah.
Menerusi video ketiga, ND Lala meminta mereka yang pernah menuduh isterinya sebagai penyondol supaya menurunkan balik tuduhan itu.
Katanya, tuduhan itu adalah dosa dan boleh mengembangkan lagi dosa.
“Sebaik mungkin turunkanlah semula kerana melabelkan orang satu dosa. Dosa ini terus berkembang apabila orang lain pula berkongsi dalam media sosial mereka, kemudian disebarkan berjuta orang lain.
“Ia akan menjadi jariah dosa yang menyebabkan ramai orang terpalit.
“Saya sedih bila ramai orang akan berdosa ketika menghadap Allah kerana dosa fitnah dan ghibah akibat melabelkan orang. Dosa ini tidak boleh diampunkan dengan bertaubat.
“Mudah-mudahan penjelasan saya, ramai akan terselamat daripada fitnah dan umpatan.
“Timbangkanlah tindakan anda dengan fikiran matang, jangan terbawa emosi sebab merugikan. Saya pun sudah berusia 62 tahun, mudah-mudahan sebelum Allah jemput saya balik, sempatlah kalian betulkan keadaan,” katanya.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.