KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi dan pelakon, Datuk ND Lala iaitu Fauziah Sarman menafikan tidak bersetuju berpoligami seperti didakwa bekas suaminya itu dalam hantaran video di Instagram, baru-baru ini.
Fauziah, 55, berkata, dia sebenarnya bersetuju berpoligami, tetapi ia tidak disampaikan terus kepada ND Lala, sebaliknya disampaikan kepada rakan baiknya iaitu pelakon, Zaidi Omar dan penyanyi, Roslan Madun.
“Saya cakap saya reda sebab sudah macam-macam cara saya buat untuk berjumpa dengannya, tetapi semuanya memang tak dilayan menerusi WhatsApp dan mesej pesanan ringkas.
“Saya sudah sedar. Mungkin ini takdir saya dan terima berpoligami. Mereka menangis dengar kata-kata saya, tapi abang ND tak boleh terima,” katanya dalam pertemuan ekslusif dengan Harian Metro.
Menurutnya, dia sayangkan keluarganya dan mencuba pelbagai cara untuk pulihkan keadaan dengan ND Lala, namun malangnya ia seperti bertepuk sebelah tangan.
“Saya hanya letakkan syarat tak nak ambil tahu langsung mengenai wanita itu (Siti Munirah). Tapi, ia hanya berlaku di sebelah pihak saya tanpa ada respon daripada abang ND.
“Sampai tahap saya sudah penat berjuang seorang diri dan buat keputusan untuk berhenti berharap. Sebab bila ditolak, saya lihat dia tak nak poligami.
“Dia memang makin menjauh dari saya, jadi cukup-cukuplah. Dia pun sudah tinggalkan saya setahun lebih dan duit nafkah tak beri,” katanya.
Fauziah berkata, permintaan ND Lala terhadapnya juga agak pelik iaitu memintanya ke pejabat agama untuk sesi kaunseling.
“Kawan-kawannya kata kenapa sampai begitu sekali sedangkan isteri kamu (ketika itu) sedia nak bermadu. Mereka nasihatkan dia supaya selesaikan dengan baik dan balik rumah macam biasa.
“Abang ND kata tak boleh. Saya disuruh pergi kaunseling dan bila orang kaunseling ‘study’ kes, mereka akan panggil dia pula. Selepas itu, kami akan ditemukan.
“Mereka tanya lagi selepas itu apa? Dijawabnya jika ada jodoh adalah dan kalau tiada, tiadalah. Boleh pula macam itu.
“Jadi, ceritanya kata saya tak nak poligami memang tak betul,” katanya.
Menurutnya, rakan-rakan artis seperti Datin Suliza Salam juga memberi pendapat dalam perkara ini.
“Dia kata saya jenis yang setia dan tak boleh hidup tanpa abang ND. Jadi, dia nasihatkan saya supaya terima saja bermadu walaupun benda itu pahit.
“Abaikan saja wanita itu kerana apa yang penting abang ND balik rumah dan layan saya macam biasa.
“Ramai lagi yang nasihatkan saya dan itu yang buat saya terbuka hati bermadu. Saya pun ada cakap dengan seorang ustaz dan dia terkejut dengan tindakan saya.
“Saya kata padanya, saya tak nak kehilangan abang ND kerana sudah lebih setahun tak balik. Saya sampai peringkat rindu dan dapat dengar suara pun jadilah,” katanya.
Fauziah berkata, dia kini sudah tabah dan pulih sekitar 90 peratus untuk berdepan kenyataan. Hanya terkilan dengan sikap ND Lala yang langsung tidak mahu bertemu dan bercakap dengannya serta anak-anak.
“Saya reda apa yang berlaku terhadap saya. Allah uji saya banyak manalah sangat kalau dibandingkan dengan orang lain.
“Saya bersetuju wanita itu dianggap ‘penyondol’ dalam rumah tangga saya. Bagi saya, sesuai ayat itu digunakan.
“Tapi saya tak salahkan dia seorang kerana kalau bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Dua-dua sama perangai.
“Saya nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga pada pengikut di Instragram, Facebook dan TikTok yang tak putus-putus beri kata semangat selama ini,” katanya.
Menurutnya lagi, ada beratus mesej langsung yang diterima yang kebanyakannya senasib dengannya. Malah, tidak sempat untuk baca dan membalasnya.
Pada 5 September lalu, Fauziah memaklumkan kes cerai mereka selesai secara baik.
ND Lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga pada 1989 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan empat cahaya mata, Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.
sumber : berita harian
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.